Friday, November 20, 2015

Tak Lebih Tak Kurang

"Ana takpe ke?"

Terbantut rasa nak tidur.

"Takpe apa pulak ni?", detik hatiku.
"Takpe apa?", ku suarakan apa yang terdetik tadi. Mata ku buka.

Sambil mengemaskan lipatan kain sarungnya, dia bersuara, lambat-lambat, "Adik beradik Ana semuanya dah graduate. Ipar biras pun. Abang je..." sengaja dia buat ayat tergantung sebab dia yakin aku sedia maklum apa yang tersirat dalam hatinya.

"Abang je apa?", aku pura-pura tak tahu.
"Iyelah, Kak Nor kan nak konvo Sabtu ni, tinggal Abang seorang ja yang tak konvo".

"Oh, ye ke? Kalau Abang tak cakap, Ana pun tak perasan", sempat aku senyum sebelum aku pejamkan semula kelopak mata. Sengaja bagi hint pada suami. "Pergilah cepat solat Jumaat" bisikku antara dengar tak dengar. Aku tak bersedia nak buat ulasan atas penyataan dia tadi. Bukan di saat ini.

Deruman kereta sayup menjauh, membawa pergi suami dan anak kembarku ke Masjid Saidina Ali untuk solat Jumaat. Di ruang tamu, jelas kedengaran ketawa Amni menonton rancangan kegemarannya, Running Man. "Best juga kalau join Amni. Tapi kena nap juga ni. Tak seronok pulak kalau mengantuk semasa perjumpaan dengan Pengarah petang nanti".

Dalam pejam, terfikir. Along bakal konvo Sabtu ni, Abang Izal sudah berjaya menamatkan Ijazah Sarjananya dua tahun yang lalu. Kamal pula sedang gigih menyambung Ijazah Kedoktorannya, pun di universiti yang sama.

"Boringnya, asyik UM je...", timbul pula rasa hairan. Kenapa universiti yang tertua di Malaysia ni juga yang menjadi pilihan adik, kakak dan iparku untuk menyambung pengajian.

Nasib juga Baa' menyambung Ijazah Sarjananya di UIA.

Dalam pejam, fikiran melayang. Melayang jauh sejauh 230km ke kampung. Deretan gambar kami adik beradik di Majlis Konvokesyen masing-masing termasuk abang dan adik-adik ipar jelas terpampang. Idea arwah Abah untuk menggantung semua aksi kami menerima skrol di dinding ruang tamu rumah. Abah ternyata sangat bangga dengan kejayaan anak-anak dan menantu-menantunya. Terberkas dengan masa silamnya, mungkin. Berpeluang tapi tak mampu.

"Gambar-gambar keluarga kita nanti, kita gantung dalam bilik ja", cadang suamiku sambil perhatiannya fokus ke jalan Sabak Bernam - Kuala Lumpur. "Okay", pendek jawapanku. Boleh mengagak apa yang bermain di fikiran suami.

Terusik agaknya hati suami tatkala melihat deretan gambar kami dibingkaikan Abah, digantung pula di ruang tamu. Gambar menantu menerima skrol di hari berbahagia turut sama dibingkaikan. Semua. Kecuali dia. 

"Ibu...Ibu...Dah Zuhur belum?", Amni terjerit-jerit dari ruang tamu.
"Ibu..." pintu bilik dikuak. Mata sengaja ku pejam rapat-rapat, aku sedang berlakon tidur. Mengharap lakonan ku berjaya.

Pintu ditutup kembali. Aku tersenyum sendiri.

"Ibu...Ibu...Ibu...", jeritan kembar sudah kedengaran dari parkir kereta lagi. "Ibu...Ibu...", pipiku dikucup, dahi, dagu, mata. Lakonan terpaksa dibatalkan. Serta merta.

"Dah balik dah Amin, Iman", ku peluk erat anak bujangku satu per satu. Mataku buka. Melihat senyuman kembar yang akan menjangkau usia lapan, tahun hadapan.

"Di masjid tadi, pakcik tu cerita apa?", sengaja bertanyakan isi khutbah pada kembar.

"Amin tidur...", suami menyampuk. "Tersengguk-sengguk".

"Huh". Amin mencebik dan berkawad keluar dari bilik. Iman membontoti kembarnya. Turut sama mencebik.

"Yang tidur Amin, bukan Iman. Kenapa dua-dua touching lak?". Usikan suamiku tidak dilayan kembar. Ketiga-tiga permata hatiku kini leka melayan Sofea The First sementara menunggu masa bertolak untuk sekolah agama.

"Abang..."
"Ya..."
"Di masjid tadi, pakcik tu cerita apa?", sengaja ulang bertanya soalan yang sama untuk memulakan bicara.
"Cerita pasal satu Muharram detik permulaan...", suami memberikan jawapan melalui alunan nasyid popular itu. Dia tersengih sendiri dengan pitching lari, dinyanyikan olehnya tadi.

"Abang..."
"Iye..."
Ku pandang matanya dalam-dalam. Nafas ku atur kemas.

"Ana tahu Abang tiada skrol..."
"...tiada  konvo..."
"...tiada gambar berjubah. "

Lambat-lambat ku suarakan mukadimah perbualan. Menunggu, kalau-kalau ada respon.

"Tapi... Kalau abang berdiri sebaris dengan Abang Izal, Tipah, Arafat dan Tuan Hakim, ilmu abang setara dengan mereka semua". Ipar terkini suka aku gelarkan dia Tuan Hakim. Kagum aku. Muda-muda dah jadi hakim.

Suami tak menjawab. Diam. Dapat mengagak ada lagi yang nak aku sampaikan.

"Tengok dalam rumah ni aje. Abang tukarkan suis lampu, abang buat display rak, abang betulkan wayar Internet, abang buat piping, abang buatkan ampaian kain."

"Abang betulkan Samsung Ana, abang..."

"Abang upgrade basikal-basikal kita", dia menyambung. Senyum. Dari jendela kamar, pandangannya  kini dilemparkan ke basikal-basikal XDS, Exitway dan RMB yang tersusun kemas. Senyumannya melebar. Ku akui, kemahiran psikomotornya menjimatkan hampir ribuan ringgit.

"Terima kasih sebab nak kan abang". Sayu pula aku mendengarnya.
"Sama-sama. Nak solat dulu, pastu hantar Ana ke kolej ya". Dia mengangguk.

Dan kami sama-sama tersenyum. Senyum sampai hati.

2 comments:

Anonymous said...

touching wei!

-lin-

Anonymous said...

Wow...