Thursday, December 3, 2015

Syukur Sang Suami

"Alaaaa... tertinggal lagi bekas air di gym", rungutku sebaik melangkah masuk ke rumah.

Suami diam. Khusyuk mencuba untuk melepaskan level 81 permainan Fiend di tablet Amin.

"Banyak dah bekas air Ana tinggalkan merata tempat". Sengaja ku kuatkan volume suara supaya suami maklum, maka dengan ini tiada satu pun bekas air yang tinggal di rumah untuk dibawa semasa aktiviti berbasikal atau badminton nanti.

Suami masih diam. Ini suatu misteri. Ku kira rezeki aku malam tu kerna tiada ulasan bercirikan sinikal dilontarkan. "Berkat solat dhuha agaknya", detik hati kecilku. Aku tersenyum lega, lantas beg yang ku sandang diletakkan atas meja. Tudung yang basah dek peluh semasa berzumba tadi ku lepaskan.

"Lain kali bekas air sangkut kat leher". Sekali suami bersuara. Perghhh... Terngiang-ngiang pula lagu "Sakitnya Tuh Disini" masa berzumba tadi. "Tak khusyuk agaknya dhuha siang tadi", sempat pula hati kecilku berbisik.

Ku rapati suami. Dia masih khusyuk mencuba melepaskan level 81 tersebut, seolah-olah suara tadi datang dari syiling rumah. Ku tepuk-tepuk lembut bahunya menggunakan bil Streamxy yang baru ku ambil dari peti surat tadi.

Sebaik mata kami bertemu, aku beri cadangan.
"Brand Tuuperware ja ada tali kat bekas air. Belikan ya".

Riak wajahnya... Ku kira itu ialah reaksi petanda kesyukuran sang suami kepada Yang Baqa' kerna diberi peluang dapat hidup bersama seorang isteri yang kreatif lagi bijak.

Kreatif mengatur ayat. Bijak menjawab.

Aku tersengih dan suami kekal dengan riak wajah kesyukurannya. Alhamdulillah.

No comments: