Aku bersarapan seperti biasa dengan rerakan tercinta. Bergosip seperti biasa. Sampailah aku dapat call dari Yah. Angkat ja call, dengar Yah menangis cakap bergetar-getar
Yah : Angah, cepat datang, Abah kritikal.
Aku : Ko jangan nangis bongok. Angah tak faham pa yang ko cakap ni.
Yah : Angah datang tau. Abah kritikal.
Aku : Ya Angah datang sekarang jugak. Ko jangan nangis. Dah telefon Aika?
(Aku lak yang menangis dan cakap bergetar-getar)
Pastu Yah letak telefon tak jawab pun soalan aku. Yang aku terfikir masa tu hanyalah...
Ya Allah janganlah jadi apa-apa sebelum aku sampai PPUM. Kalau tidak aku akan menyesal sebab tak datang semalam. Ya Allah, izinkan aku jumpa Abah sebelum apa-apa terjadi.
Malamnya kami sekeluarga adakan tahlil untuk Abah. Sekali dengan takbir raya. Kalau Abah ada memang biasa malam raya Abah akan ajak ahli surau/masjid datang untuk takbir raya di rumah. Bezanya kali ni, Abah dah tiada untuk bising-bising suruh kami cepat-cepat hidangkan makanan. Siangnya masa kami menyediakan makanan pun, aku masih terasa yang Abah masih ada di bilik, sedang tidur.
Pastu Abah bangun gi tandas mesti sibuk-sibuk tanya apa yang kami buat, usik-usik cucu-cucunya, panggil Amni ..."Amy", usik Asmaa' dengan bahasa Bangladesh, usik Syifaa dengan "Cumi...Cumi" pastu aku akan tambah lagi usikan Abah tu sampai Syifaa menangis. Betapa sumer tu terpeta dalam mindaku dah sama macam peta minda topik Network Topology. Dan memang sepatutnya aku petakan sebab semua itu dah jadi kenangan...
24 September 2012 (Isnin Tengahari)
Aku sampai kat PPUM, tersesat-sesat nak cari Emergency Room. Pok Guard pun satu salah tunjuk jalan. Sampai kat tempat bilik ICU dalam ER (Dalam ER ada ICU okehhhh) Nampak Mak di ruang menunggu dan Mak menangis. Pastu Mak suruh aku tengok Abah dalam bilik. Masuk ja bilik nampak Yah mata bengkak. Aku tengok Abah dan aku lari menyorok belakang langsir, menangis sepuas-puas hati. Aku tak nak menangis depan Abah. Aku rasa macam aku dah OK la kunun, aku dekati Abah. Allahuakbar, penuh wayar, pakai corong oksigen, bernafas pun susah.
Aku cakap "Abahhh.." dan aku dah tak mampu tuk bercakap lagi , air mata berjurai-jurai kuar macam air terjun. Yah tujal kepala aku, bisik bagitau "Jangan menangis depan Abah" Tapi aku nangis jugak cuma tak meraung ja. Yah bisik pada Abah " Abahhhhh...Angah datang". Pastu Abah cakap dalam kepayahan "Anaaaa...". Aduhai luluh jantung hati hempedu ku. Dan bertambah-tambahlah isipadu air mata yang kuar. Sedihnya Subhanallah. Terus aku jalan laju-laju keluar dari bilik tu. Menenangkan perasaan sendiri.
Kami adik-beradik cuti Aidiladha kali ni lansung tak mengungkit tentang kenangan bersama Abah. Masing-masing cuba untuk tidak menyedihkan Mak yang malam raya dah sedia sedih tatkala takbir bergema. Setiap kali raya tak kiralah Aidilfitri takpun Aidiladha Abah pastilah orang yang paling sibuk. Sibuk buat latihan membaca khutbah raya sebagai persediaan Abah jadi Imam nanti di surau atau masjid. Cuma tahun ini Abah tak lagi mengimamkan solat sunat Aidilfitri sebab masalah kerap buang air besar yang semakin menjadi-jadi.
Masih lagi terdengar bacaan khutbah Abah yang terakhir di rumah pada Aidilfitri yang lepas sebab kami semua lambat gi surau untuk solat sunat Aidilfitri. Pertama kali terjadi kami adik-beradik berjemaah solat sunat raya di rumah diimamkan oleh adik lelaki dan khutbah di baca oleh Abah. Rupanya itu juga merupakan yang terakhir kami bersolat sunat raya bersama Abah.
24 September 2012 (Isnin Petang)
Doktor panggil kami adik beradik untuk membincangkan hal Abah. Yang ada masa tu hanyalah aku, Along, Yah dan Ida. Kamal anak lelaki yang pertama masih lagi dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke PPUM. Doktor bagitau yang Abah sangat kritikal. Kalau dibiarkan keadaannya akan menjadi semakin tenat. Kesan dari muntah berterusan telah menyebabkan Abah kekontangan terlampau sehinggakan buah pinggang Abah rosak kedua-duanya. Abah perlukan dialisis tapi tekanan darah tidak mengizinkan.
Doktor cadangkan Abah dipengsankan. Tetapi harapan sangat tipis. Mungkin pada detik Abah dipengsankan, itulah detik terakhir kami dapat melihat anak mata Abah dan Abah dapat melihat kami. Serta merta kepala jadi pusing. Tak tahu nak buat keputusan. Segalanya buntu.
Akhirnya kami sepakat untuk Abah dipengsankan. Tak sanggup tengok Abah menahan kesakitan. Saat keputusan dibuat, doktor minta kami bercakap dengan Abah buat kali terakhir sebelum dipengsankan. Seorang demi seorang berbisik di telinga Abah. Dan ayat aku, "Abah maafkan Ana, maafkan kami adik beradik. Redhakan kami bah. Kami sayang Abah..." dan seperti biasa aku menangis sampai tak boleh nak bina ayat lagi. Menyorok di tepi tabir, tempat yang sama ketika aku mula-mula menjenguk Abah.
Tirai ditarik, kami memandang Abah, Abah pandang kami dan Abah hilang di sebalik tirai. Pandangan Abah yang terakhir aku masih ingat lagi sampai sekarang dan hampir serupa macam drama yang kita tonton di Cerekarama. Siyes hampir sama.
Abah dipengsankan. Tekanan darah Abah semakin lama semakin rendah. Dua doktor India membuat kesimpulan yang sama. "Tiada apa yang boleh kami buat. Pelbagai ubat sudah diberi untuk menaikkan tekanan darah tetapi tekanan semakin rendah. Dialisis tidak boleh diteruskan dengan tekanan yang sangat rendah ini. Panggillah semua keluarga terdekat. Buatlah apa-apa upacara". Tak putus-putus kami berdoa...
"Ya Allah, berikanlah pengakhiran yang terbaik untuk Abah. Ditakdirkan umurnya panjang, biarlah dia mampu berjalan, bersuara, bergurau seadanya sekadarnya. Ditakdirkan ajalnya sampai, permudahkanlah percepatkanlah, tak mahu Abah menderita. Ya Allah Kaulah pembuat keputusan yang terbaik"
Biasanya setiap kali raya tak kiralah Aidilfitri mahupun Aidiladha, Abah pasti akan belikan lemang tanpa gagal. Abah bukannya boleh makan lemang pun sebab darah tinggi dia tu, tapi lemang akan sentiasa ada. sampai aku tak payah fikir-fikir mahu belikan lemang atau tidak.
Pastinya juga Abah akan booking awal kaki kerbau untuk dibawa pulang ke rumah nenek di Pasir Panjang untuk dibuat sup.Sempat juga aku menyinggah di rumah nenek masa dalam perjalanan ke Teluk Intan raya hari tu, dan kisah kaki kerbau yang akan Abah bawa jugalah yang nenek ungkit.
Raya hari tu, berdua dengan adik Telekom, dia buka cerita yang dia ada mimpikan Abah. Dia kata Abah tak cakap apa-apa pun dalam mimpi tu dan bila adik tanya khabar, Abah hanya tersenyum. Air mata kami berjuraian dan mula buka citer terkenang itu, terkenang ini dan ayat-ayat cover pun kuar seperti; "Bongoknya kau nangis", "Kaulah yang bongok. Tak sangka citer macam tu pun nak nangis". "Pastu kau nangis apahal?"...Pastu Aku lari masuk toilet malas nak layan dah. Aku yakin Abah selesa di 'sana' kerana aku mula belajar untuk sedekahkan Al-Fatihah untuk Abah, nenek lelaki, nenek perempuan, onyang, atok ketika buka mata di awal pagi.Al-Fatihah...
25 September 2012 (Selasa pagi)
Kami adik beradik dan Mak berada di sisi Abah sepanjang masa. Bacaan Yaasin tak putus-putus dibacakan. Bisikan perkataan Allah terus-terusan dibisikkan di telinga Abah. Dan tekanan darah semakin lama semakin rendah.
Hinggalah tepat jam 1123 pagi, akhirnya Abah pergi kepangkuan Ilahi pada usianya baru mencecah 61 tahun. Kami semua sebenarnya redha dan tahu kami bakal kehilangan Abah dalam jangka masa terdekat ini, tapi entahlah mungkin harapan masih bersisa di hati. Ya Allah, kehilangan seseorang yang sangat hampir dengan kita adalah berat rupanya.
Abah dimandikan, di kafankan di Masjid Al Mujahideen, tempat Along bekerja. Selepas di sembahyangkan kami adik-beradik dibenarkan mengucup Abah buat kali terakhir. Air mata ditahan, aku kucup dahi Abah lama tapi sedih menyelubungi jiwa dan cepat-cepat aku bangun sebelum air mata jatuh.
Abah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Batu 6, Teluk Intan petang itu juga. Van yang bawa jenazah Abah ya hamat la laju sampai tak terkejar dek kami-kami yang berkaca mata dan mata berkaca-kaca ketika memandu. Tapi kami tidak terkilan, mempercepatkan pengkebumian adalah yang terbaik untuk Abah.
Kematian itu pasti. Redha itu perlu. Abah dah tiada. Tetapi kehadirannya masih aku, kami adik beradik malah kawan-kawan Abah juga terasa. Terlalu banyak kenangan dicipta bersama Abah. Semangatnya, kecekalannya, fikiran positifnya, santainya, guraunya akan kami kenang sampai bila-bila.
Terima kasih Abah. Kami sayang Abah. Selalu. Selamanya.
Masa ni Abah terperasan aku beli telefon baru, pastu Abah cakap
"Cuba kau ambik gambar Abah dengan Mak kau ni guna telefon kau tu"...:(
Buat pembaca budiman, terima kasih kerna sudi membaca cerpen ini sampai habis.
Eh!TuAjeLahKali.Bye!